Monday 12 September 2011

.::Selamat Datang::.

Bismillahirrahmanirrahim....



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu wa ba'du
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah swt atas bermacam-macam nikmat yang telah diberikan yang tidak dapat untuk kita hitung jumlahnya. Dan dalam nikmat-nikmat yang banyak ini, Allah swt juga telah mengurniakan kepada kita dua nikmat-Nya yang terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam. Betapa ruginya kita sekiranya kita tidak mensyukuri nikmat tersebut apatah lagi jika kita langsung tidak menyedarinya.

Dalam kesempatan ini, saya, mewakili Kelab KAFA UM, ingin mengalu-alukan kehadiran pelajar-pelajar tahun satu yang baru sahaja menamatkan minggu haluansiswa pada jumaat lepas. Semoga persediaan selama seminggu ini memberikan gambaran kepada pelajar akan kehidupan di alam universiti yang menanti mereka. Persiapkan diri dan perteguhkan niat di hati. Semoga langkahan pertama yang baik ini membawa kepada kebaikan sepanjang pengajian di Universiti Malaya (UM) nanti.

Ingatlah bahawa akademik hanya alat untuk mencapai wawasan akhirat. Jika akademik menjadi perkara yang utama dengan melupakan tujuan kita diciptakan, ia (akademik) akan menjadi sia-sia. Untuk itu, kami di dalam Kelab KAFA UM ada menganjurkan program-program bagi menjelaskan tujuan utama hidup kita. Lebih-lebih lagi ianya dikaitkan dengan sumber pedoman yang utama, iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Marilah bersama kami dalam meningkatkan akademik seiring dengan rohani.

Buat pelajar-pelajar senior, kami mengucapkan selamat kembali ke Universiti Malaya. Moga cuti selama hampir empat bulan yang lepas telah dimanfaatkan dengan sebaiknya. Kami berharap agar semester baru ini akan menjadi lebih baik daripada semester lepas buat semua. Kami juga berharap kepulangan anda bakal menjadi peluang buat pelajar-pelajar senior untuk menunjukkan contoh dan teladan yang baik buat mereka yang baru sahaja masuk.

Mudah-mudahan kita memperoleh taufiq dan hidayah dalam setiap amal sepanjang hidup kita dan moga Allah menerima amal baik kita di dunia ini sebagai bekal untuk mendapat redha-Nya di akhirat nanti.

Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum

Abdul Muhaimin bin Shahriman
Yang Dipertua
Kelab KAFA UM
Sesi 2011/12

No comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.

  © Blogger template 'Portrait' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP